Laporan/foto: Norhayati Shamsu Anuar (Gua Musang)
GUA MUSANG, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Dikir Barat Kepenggunaan, sempena Jualan Rahmah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di Dataran Kesedar Gua, di sini kelmarin berlangsung dengan meriah dan mendapat sambutan hampir 1,000 orang pengunjung.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Azman Ismail, 54, berkata Program Dikir Barat Kepenggunaan adalah salah satu medium bagi menyampaikan maklumat kepada pengguna secara dekat dalam dialek dan seni budaya Kelantan.
“Program ini diadakan bertujuan menyampaikan maklumat kepada golongan sasar berkenaan isu semasa kepenggunaan dan menyebarkan maklumat tepat kepada pengguna bagi menghadapi isu-isu pengguna.
“Secara tidak langsung ini dapat memberikan info kepengunaan kepada masyarakat untuk memahami hak-hak pengguna. Pada masa yang sama juga turut kita adakan Jualan Rahmah dengan penjimatan antara 10 hingga 30 perauts dan Pakej Rahmah dengan harga RM20 di bawah Inisiatif Payung Rahmah untuk pengunjung yang hadir,” katanya.
Salah seorang pengunjung, Salina Abu Bakar, 40, berkata program ini amat baik kerana dikir barat bukan sahaja memberikan hiburan tetapi juga mesej mengenai kepengunaan kepada masyarakat.
“Penyampaian secara santai menggunakan dialek Kelantan dalam persembahan dikir barat sangat berkesan untuk menyampaikan mesej kepada penduduk tempatan.
“Lebih menarik dengan kehadiran artis jemputan seperti Man Khan, Kumpulan Dikir Barat, Aris Kapilla, Arman DBA, Irfan Mutiara Biru dan Fadil Turbo yang turut memeriahkan majlis,” katanya.
Turut hadir Ahli DUN Galas Mohd Syahbuddin Hashim dan ketua-ketua jabatan Daerah Gua Musang.
-ZS-