
Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Muhammad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Kerajaan bersetuju memberikan pengurangan cukai taksiran sebanyak 25 peratus bagi kategori kediaman rumah mampu milik di Kuala Lumpur yang telah siap selepas tahun 2014 sehingga sekarang.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, pengurangan cukai itu bermula penggal kedua tahun 2023 (Julai hingga Disember 2023) sehingga penilaian semula dilaksanakan.
“Setelah mendengar keluhan rakyat di peringkat bawahan yang meminta diberikan pengurangan, saya bersetuju memberi pengurangan ini untuk pemilik rumah mampu milik.
Kategori pemilik rumah mampu milik yang layak bagi inisiatif ini adalah RUMAWIP, PRIMA, PPAM dan Residensi Wilayah di Kuala Lumpur,” ujar Anwar ketika berucap pada Sesi Temu Mesra YAB Perdana Menteri Bersama Pemilik Rumah Mampu Milik WPKL & Perasmian TLK Bertingkat Taman Tasik Metropolitan Kepong, di sini semalam.
Pengurangan cukai taksiran itu bakal memanfaatkan seramai 25,677 pemilik rumah mampu milik yang melibatkan pengurangan hasil Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sebanyak RM2.067 juta.
-ZS-