Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Muhammad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 24 Jun (Malaysiaaktif) – Dalam menjelmakan Konsep Madani di ibu kota, kerajaan memperkenalkan pembangunan Kejiranan Madani Wilayah Persekutuan yang bakal merealisasikan impian pemilikan rumah bagi golongan berpendapatan rendah.
Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebanyak lima projek Kejiranan Madani bakal dibangunkan sekitar Kuala Lumpur bermula tahun ini yang akan menghimpunkan masyarakat daripada golongan M40, B40 dan rentan miskin, tinggal dalam satu kawasan kejiranan yang sama dengan penuh keharmonian serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan asas.
“Rumah ini hanya boleh diwariskan kepada ahli keluarga sahaja. Sekiranya pemilik ingin menjual unit tersebut, hanya DBKL sahaja yang boleh membelinya,” katanya semasa ucapan di Sesi Temu Mesra Perdana Menteri Bersama Pemilik Rumah Mampu Milik WPKL, di sini semalam.
Pembangunan Residensi Prihatin Madani dan Residensi Madani berkonsepkan sewa-beli dijual pada harga antara RM150,000 hingga RM200,000 menyasarkan golongan M40 dan B40 yang berpendapatan rendah dan tidak mampu membeli rumah.
Manakala Residensi Sejahtera Madani ditawarkan kepada golongan golongan bujang atau belia yang baru bekerja serta pasangan muda yang baru berkahwin berumur antara 21 hingga 30 tahun.
-ZS-