
Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Norfaizah Adnan (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 29 Jun (Malaysiaaktif) – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL) menumpaskan aktiviti penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam serbuan ke sebuah stor di Setapak pada Jumaat lalu.
Pengarah KPDN WPKL, Ariffin Samsudin, berkata serbuan ke atas stor penyimpanan gas berlesen itu hasil risikan dan pemantauan pasukannya selama empat hari.
Pihaknya telah mengemukakan notis kepada pemilik premis berkenaan iaitu seorang lelaki tempatan berusia 40-an untuk membekalkan dokumen berdasarkan peruntukan perundangan kepada pemegang lesen barang kawalan sebelum serbuan dilakukan.
“Namun ketika serbuan, kami menganalisa dokumen-dokumen berkaitan dan terdapat penemuan mencurigakan di mana pihak premis tidak merekodkan pembelian dan gagal menyelenggara buku stok seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Hasil semakan dokumen pembekalan Gas LPG bagi tahun 2023 iaitu bermula pada Januari 2023 sehingga Jun 2023, pihak kami mendapati peniaga berkenaan gagal merekodkan pembelian melibatkan 345 transaksi yang berjumlah RM1.7 juta secara keseluruhan,” kata Ariffin ketika ditemui pada sidang media, di sini semalam.
Katanya, pemilik premis itu telah ditahan untuk merekodkan keterangan bagi membantu siasatan dan jumlah ketirisan subsidi dianggarkan RM1 juta berdasarkan analisa awal.
Maklumat awal diperoleh premis berkenaan terlibat dalam aktiviti pembekalan gas LPG bersubsidi kepada pihak ketiga bagi tujuan penyelewengan sekitar Lembah Klang.
Menurut beliau, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 bersama dengan Peraturan 13(2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
Pada masa yang sama, Ariffin turut memberi amaran keras kepada mana-mana pihak agar tidak melanggar undang-undang serta tidak mengambil kesempatan terhadap subsidi yang diberikan kerajaan.
-ZS-