Laporan/foto: Norfaizah Adnan/ Muhamad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)
KUALA LUMPUR, 29 Jun (Malaysiaaktif) – Taman Dato’ Senu, Sentul, menjadi lokasi kelima persinggahan Jelajah Program Jualan Rahmah (PJR) Bergerak anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL) sempena Sambutan Hari Raya Adiladha.
Menurut Pengarah KPDN WPKL Arifin Samsudin, PJR Bergerak yang bermula dari Sabtu lalu telah mencatat nilai jualan sebanyak RM400 ribu.
“Masuk hari kelima hari ini PJR Bergerak telah mencatat nilai jualan keseluruhan di empat lokasi sebanyak RM400 ribu di mana diskaun diberikan adalah sebanyak RM30 ribu.
“Memandangkan permintaan tinggi daripada masyarakat, kita mula mengehadkan setiap jualan berlangsung selama empat jam sehari. Contohnya, untuk jualan sebelah pagi, ia akan bermula pukul 10 pagi hingga 2 petang atau pun jualan sebelah petang pula mulai pukul 6 petang hingga 10 malam.
“Masa jualan ini ditentukan mengikut kesesuaian masyarakat setempat hasil perbicangan bersama pejabat Ahli Parlimen berkenaan,” kata Arifin ketika ditemui pada Pelancaran Jualan Rahmah Bergerak Parlimen Batu di Taman Dato’ Senu, Sentul, di sini semalam.
Manakala Ahli Parlimen Batu, Prabakaran Parameswaran, berkata program-program seumpama itu memberi impak positif kepada masyarakat di samping memastikan bantuan-bantuan kerajaan disampaikan terus kepada golongan tersasar selaras dengan hasrat Kerajaan Perpaduan yang memahami kehendak rakyat.
“Fokus utama program ini adalah golongan miskin tegar, B40 dan M40 untuk meringankan bebanan kos sara hidup dan program ini berlangsung bukan sahaja di Kuala Lumpur malah di seluruh negara.
“Untuk Parlimen Batu selain di Taman Dato’ Senu, ia juga akan diadakan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu dan PPR Beringin,” ujarnya.
PJR Bergerak itu akan berlangsung di 33 lokasi sekitar Kuala Lumpur di mana setiap Parlimen diperuntukan jualan bernilai RM200 ribu.
-ZS-