
Laporan/foto: Mohd Rafezan Shawal/Muhammad Noor Basirun
JOHOR BAHRU, 12 Jun (Malaysiaaktif) – Johor dipilih sebagai lokasi Program Ramah-Tamah Uniti Kaamatan dan Gawai 2023 Peringkat Kebangsaan yang diadakan selama dua hari pada 9 dan 10 Jun lalu di Dewan Taman Mawar, Pasir Gudang.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata majoriti masyarakat dari Sabah dan Sarawak yang berhijrah dan bermastautin di Johor adalah seramai lebih kurang 30,000 orang setakat ini.
“Tujuan program ini adalah sebagai simbolik dalam memupuk semangat perpaduan dan muhibbah bagi mengeratkan hubungan setia kawan serta mengenali pelbagai budaya dan etnik masyarakat Sabah dan Sarawak sejajar dengan slogan Malaysia Madani.
“Kementerian juga akan melaksanakan Kajian Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) kali ketiga tahun ini bagi menilai tahap perpaduan pelbagai kaum di Malaysia untuk memastikan kesepaduan ini kekal pada masa akan datang,” katanya di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Ling Tian Soon, Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim, Pegawai Daerah Johor Bahru Haji Muzaldin Mohamed, ketua-ketua jabatan persekutuan dan negeri serta penduduk setempat.
-ZS-