Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Karyaneka Kini di Muzium Negara

By 17 Jun 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Norfaizah Adnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 17 Jun (Malaysiaaktif) – Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Datuk Hajah Saraya Arbi merasmikan pembukaan outlet baharu Syarikat Pemasaran Karyaneka Sdn. Bhd. (Karyaneka) di Muzium Negara, Jalan Damansara, di sini semalam.

Menurut beliau, Karyaneka yang dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, agensi di bawah MOTAC itu berfungsi mempromosi dan memasarkan produk kraf tempatan hasil usahawan kraf dari seluruh negara.

“Karyaneka di Muzium Negara ini menampilkan dan menawarkan pelbagai produk kraf yang autentik dan beridentiti Malaysia melalui fesyen dan tekstil, cenderamata, hiasan laman dan taman dan produk pelancongan yang terdiri daripada produk kraf tekstil, kraf hasil rimba, kraf hasil logam, kraf hasil tanah, dan aneka kraf.

“Sempena dengan pembukaan cawangan baharu ini, diskaun 10 peratus akan diberi bagi setiap pembelian bernilai RM250 ke atas dan yang menariknya, pembeli juga akan mendapat mangkuk tingkat secara percuma mulai hari ini (Jumaat) hingga 30 Jun,” katanya.

Pembukaan cawangan yang ke-10 itu dilihat berupaya meningkatkan pemasaran produk-produk kraf tempatan dalam kalangan pengunjung Muzium Negara termasuk pelancong luar negara.

Karyaneka telah ditubuhkan pada tahun 1982 dan terdapat sembilan lagi outlet lain beroperasi di lokasi-lokasi strategik, seperti di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, Kompleks Kraf Langkawi, Kompleks Kraf Melaka, Kompleks Kraf Johor, Pusat Pelancongan Malaysia (MATIC) Jalan Ampang, Dataran Putrajaya, Lobi Parlimen, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Muzium Malaysia, Datuk Kamarul Baharin A. Kasim, Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Ainu Sham Binti Haji Ramli dan Pengurus Besar Karyaneka Norizmah Mustaffa.

-ZS-

Tinggalkan komen anda