Laporan/foto: Radiah Rahim/Mohd Fazli (Pahang)
KUANTAN, 15 Jun (Malaysiaaktif) – “Memandangkan pernafasan adik Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan berusia 16 bulan yang semakin kritikal, baki kos rawatan akan ditanggung oleh Kerajaan Negeri Pahang”.
Perkara ini dinyatakan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail ketika menziarahi adik Athif yang menderita penyakit Spinal Muscular Atrophy Type 1 (SMA1) di kediamannya di Permatang Badak Maju, di sini semalam.
Menurut Wan Rosdy, pembiayaan itu akan menampung baki kos yang tidak mencukupi atau tiada lagi penyumbang lain yang menderma untuk membeli ubat Genetik Zolgensma yang berharga RM9.7 juta.
“Adik Athif perlu mendapat rawatan segera bagi pembelian ubat Genetik Zolgensma dalam usaha menghentikan proses kemerosotan fungsi otot dialaminya.
“Saya ada berbincang dengan bapa adik Athif, Mohd. Farhan Mohd. Sait, 35, dan isterinya, Nur Azizah Zamri, 33, agar adik Athif mendapat rawatan segera kerana keadaannya semakin lemah,” katanya.
Wan Rosdy berharap pihak Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) mengambil tindakan segera.
“Jangan tunggu dana cukup baharu nak berubat, jika masih tidak dapat RM300,000 lagi, kerajaan negeri akan jadi ‘collateral’, ini jaminan saya, komitmen kerajaan negeri,” katanya dalam sidang akhbar selepas melihat sendiri keadaan adik Athif.
Setakat ini, jumlah terkumpul sebanyak RM9.4 juta melalui kutipan yang dibuat oleh Misi Rakyat dan memerlukan kira-kira RM300,000 lagi.
-ZS-