
Laporan/foto: Irina Abd Samad/Muhammad Hafizuddin Abdul Halim
KUALA LUMPUR, 19 Jun (Malaysiaaktif) – Pola penyalahgunaan dadah didapati beralih daripada dadah jenis organik ke dadah jenis sintetik semakin membimbangkan kerana menyebabkan penularan penyakit HIV/AIDS dan masalah mental.
Lebih membimbangkan golongan mereka terdiri daripada golongan eksekutif, bekerjaya dan bijak pandai.
Menurut Pakar Psikiatri (Penagih Dadah), Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Kuala Lumpur, Dr Mohd Fadzil Bin Mohamad Isa, berkata peningkatan penularan HIV/AIDS terkini adalah disebabkan penggunaan dadah jenis sintetik melalui perlakuan seks sesama jantina atau berlainan jantina tanpa penggunaan kondom.
“Jika penularan penyalahgunaan dadah sintetik dan dijangkiti HIV/AIDS tidak segera dibendung, bimbang ia akan merosakkan keharmonian keluarga di Malaysia. Pesakit yang tidak konsisten menjalani rawatan ‘High Active Antiretroviral Therapy’ (HAART) akan menyebabkan penularan HIV/AIDS kepada orang lain kerana sistem pertahan badan yang lemah.
“Kementerian Kesihatan Malaysia dan Hospital Universiti, memberi penekanan terhadap pesakit untuk secara sukarela mendapatkan rawatan, memberikan pendedahan awal dan kaunseling kepada mereka tanpa paksaan, kenapa mereka perlu mendapatkan rawatan untuk penagihan dadah atau penggunaaan dadah,” katanya.
“Penggunaan dadah adalah satu pilihan, penagihan dadah bukan lagi pilihan. Penagihan dadah adalah komplikasi orang yang menggunakan dadah secara kerap. Bila anda menjadi seorang penagih dadah, anda akan mempunyai satu penyakit hilang kawalan terhadap hidup dan mengaitkan anda dengan tingkah laku berisiko tinggi melakukan seks bebas atau menyuntik dadah dalam badan, seterusnya berisiko mendapatkan virus HIV/AIDS,” ujarnya ketika ditemui di Institut Kajisaraf, Tunku Abdul Rahman, Hospital Kuala Lumpur, di sini hari ini.
-ZS-