Laporan/foto: Juliawati Razali
SEPANG, 19 Jun (Malaysiaaktif) – Acara tradisional gotong-royong sembelih ayam masih diamalkan di Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Seroja, di sini.
Program anjuran KRT Taman Seroja dan Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) itu disertai 30 orang peserta.
Menurut Mohammad Rizal Zakaria, 50, penganjuran program sebegini julung kali diadakan namun hasil cetusan idea bersama maka pihak kami telah sepakat untuk mengadakan program yang jarang diadakan di mana-mana tempat.
“Zaman moden yang bergerak pantas bersama arus kemajuan pada masa kini telah banyak mengubah acara-acara tradisi kampung yang dulunya sering menjadi tumpuan penduduk seperti contoh kebanyakkan kenduri hanya melibatkan pembelian makanan melalui pihak katering,” ujar beliau.
Menurutnya, tujuan utama program ini adalah untuk mendidik dan mempelajarinya secara praktikal.
“Anak muda zaman sekarang sudah tidak lagi merasai bagaimana cara sembelihan ayam mengikut hukum syarak,” katanya yang merupakan Pengerusi KRT Taman Seroja.
Seorang peserta, Mohd Alif Hakim, 10, berkata ini merupakan pengalaman pertamanya melihat sendiri cara sembelih ayam dengan betul.
“Walaupun kami tidak tinggal di kawasan kampung, namun pengalaman ini boleh dikongsikan dengan rakan-rakan lain yang tidak berpeluang turut serta dalam program ini,” katanya.
-ZS-