
Laporan/foto: Sunday Grace Justimus/Berry Taimin (Sabah)
KOTA KINABALU, 27 Jun (Malaysiaaktif) – Program Komuniti Sempena Pertandingan Civil Defense Challenge Lifeguard (CDLC) anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah memberi pendedahan mengenai keselamatan pantai kepada masyarakat.
Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Putatan Leftenan Sarifudin Sahibin program komuniti ini dapat memberi pengetahuan kepada orang awam tentang kepentingan menjaga keselamatan diri ketika berada di kawasan pantai.
“Contohnya mengetahui tentang binatang-binatang yang berbisa di permukaan air seperti obor-obor apabila disengat, rawatan apa yang perlu dilakukan.
“Program ini juga memberi peluang kepada pengunjung menaiki bot dan jet ski selain membuat promosi tentang petugas penyelamat pantai di mana APM selaku agensi yang menjaga kawasan pantai,” ujarnya ketika ditemui pada Pertandingan CDLC, di Pantai Tanjung Aru, Ahad lalu.
Tambahnya, beliau berharap setiap pengunjung yang datang ke kawasan pantai mereka melihat amaran yang diberikan oleh petugas-petugas APM di menara penyelamat pantai dan meminta nasihat serta rawatan sekiranya terdapat kecederaan berlaku di kawasan pantai.
Sementara itu salah seorang peserta program, Sitti Fatimah Abd Samat, 23, berkata program komuniti sangat menarik dan bermanfaat kepada dirinya serta pengunjung yang datang ke sini.
“Saya sangat gembira kerana berpeluang merasai pengalaman menaiki jet ski APM sambil melihat dan menghayati kecantikan laut di Pantai Tanjung Aru,” katanya.
-ZS-