
Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)/BERNAMA
BIDOR, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Kem Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, di sini semalam.
Keberangkatan tiba baginda bersama Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim disambut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani.
Sultan Nazrin seterusnya berkenan memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 102 anggota pegawai rendah polis dari Batalion 3 PGA diketuai oleh Deputi Superintenden Polis Khairul Marwan Kahar.
Acara diteruskan dengan bacaan al-Quran dan sembah ucapan Ketua Polis Negara sebelum dimeriahkan dengan persembahan Lagenda Perang Senoi Praaq dan deklamasi sajak ‘Warisan Peribumi Pertiwi’ serta persembahan payung terjun.
Sultan Nazrin kemudiannya berkenan menyempurnakan lafaz perasmian Kem Batalion 3 PGA Bidor dan menandatangani plak perasmian.
Turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris A’fifullah Shah dan; Raja Di Hilir, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris A’fifullah Shah.
-ZS-