Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Derma Darah Berterusan Demi Kehidupan

By 15 Jun 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Norfaizah Adnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Pusat Darah Negara dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Malaysia menganjurkan kempen derma darah bersempena Sambutan Hari Penderma Darah Sedunia 2023 dan Ulang Tahun ke-75 PBSM Malaysia di AEON Wangsa Maju, di sini semalam.

Bertemakan ‘Derma Darah, Derma Plasma, Derma Berterusan, Demi Kehidupan’, seramai 22 penderma darah diraikan pada hari bermakna ini sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka yang tidak ternilai itu.

Menurut Timbalan Pengarah I Pusat Darah Negara Dr. Tun Maizura Mohd Fathullah, mesej utama tema pada kali ini adalah untuk menggalakkan lebih ramai menderma darah termasuklah plasma yang dapat merawat pesakit.

“Dengan kolaborasi seperti ini kita berharap aktiviti-aktiviti kempen derma darah dapat diadakan secara meluas di seluruh negara bagi memastikan stok darah mencukupi,” kata beliau ketika berucap merasmikan sambutan di peringkat Kuala Lumpur mewakili Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan.

Pada masa yang sama, Pengerusi PBSM Malaysia, YM Datuk Seri DiRaja Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah turut berharap sambutan seumpana itu dapat memberi kesedaran dan menggalakkan lebih ramai orang untuk derma darah memandangkan keperluan darah makin meningkat tiap-tiap tahun.

“Saya ingin mengajak semua rakyat Malaysia terutama yang masih belum menderma darah, mulakan langkah pertama dalam menjadikan amalan menderma darah secara berkala sebagai budaya gaya hidup sihat,” seru Tunku.

PBSM Malaysia juga telah memulakan kempen derma darah sejak 1974 dan telah berjaya mengumpulkan 10,348 penderma sejak Januari hingga Mei ini.

-ZS-

Tinggalkan komen anda