
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)/RTM Labuan
LABUAN, 15 Jun (Malaysiaaktif) – Warga Labuan diseru untuk memanfaatkan peluang latihan kemahiran dan keusahawanan yang ditawarkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS).
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Fadzilah Mahmud pelbagai program disediakan KEMAS untuk meningkatkan sosioekonomi masyarakat tempatan.
“Masyarakat berpeluang meningkatkan pengetahuan dan mendapat pengalaman dalam bidang keusahawanan dan seterusnya mengembangkan bidang perniagaan terutamanya dalam bidang kemahiran yang disediakan oleh pihak KEMAS.
“Bidang keusahawanan perlu dipelopori oleh golongan belia pada masa ini, dengan kemudahan dan akses meluas media sosial, platform ini digunakan dengan baik sehingga ada peniaga online yang berjaya memperoleh jutaan ringgit,” katanya semasa merasmikan Hari Promosi Kelas Kemahiran KEMAS, di sini semalam.
Tambahnya, keusahawanan berfungsi sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara dan dapat memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk sesebuah negara.
“Penekanan kementerian juga diberikan kepada bidang keusahawanan penduduk luar bandar melalui program penjanaan ekonomi agensi-agensi di bawah kementerian.
“Bidang keusahawanan semakin menjadi pilihan orang ramai terutamanya golongan belia kerana ianya bertepatan dengan saranan kerajaan yang menggalakkan masyarakat untuk menceburi bidang perniagaan dan mengurangkan tahap kebergantungan terhadap bekerja makan gaji,” jelasnya.
Turut hadir Pengarah KEMAS Wilayah Persekutuan Asri Salleh dan Pegawai KEMAS Daerah Wilayah Persekutuan Labuan Gilbert Julian.
-ZS-