
Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)
SEGAMAT, 2 Jul (Malaysiaaktif) – Koperasi FELDA Pemanis Satu Berhad merupakan koperasi terbaik di seluruh daerah Segamat.
Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi SKM Wilayah Segamat Khairunisha Hairuddin ketika ditemui di sini baru-baru ini, berkata Koperasi Felda Pemanis Satu Berhad dilihat sebagai sebagai koperasi yang berjaya mengekalkan prestasi terbaik di wilayah Segamat berdasarkan pelbagai kriteria.
“Antara kegiatan Koperasi FELDA Pemanis Satu Berhad adalah mengusahakan perniagaan stesen minyak, sewaan bangunan perniagaan (perkhidmatan mencuci kereta dan jualan pakaian terpakai), projek pembangunan peneroka ternakan lembu integrasi dan intergrasi ladang,” katanya.
Pengerusinya, Sabtu Ibrahim, berkata pada asalnya ia ditubuhkan untuk memberi perkhidmatan stesen minyak berskala kecil kepada penduduk setempat bagi memudahkan penduduk.
“Lama-kelamaan koperasi telah berkembang dengan pelbagai perkhidmatan antaranya ialah kutipan sampah di setiap rumah dan juga aktiviti kemasyarakatan bersama penduduk setempat.
“Koperasi ini juga antara koperasi yang menjaga kebajikan anggota melalui sumbangan kebajikan, sumbangan tabung pendidikan, faedah melalui dividen dan dianggotai seramai 1,096 orang ahli,” ujarnya.
Menurutnya lagi, pelbagai pencapaian terbaik telah diperolehi oleh Koperasi Felda Pemanis Satu antaranya menjadi Johan Anugerah Koperasi Peneroka Felda 2012 Wilayah Segamat, tersenarai diantara 100 Koperasi Terbaik Malaysia 2021 dan Top 350 Koperasi Tahun 2022 Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
-ZS-