
Laporan/foto: Muhamad Amsyar/Hanizatul Azwa (Hilir Perak)
TELUK INTAN, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Program Executive Talk ‘Maqasid Syariah’: Pelaksanaan dalam Undang-Undang Syariah anjuran Pejabat Agama Daerah Hilir Perak mendapat sambutan menggalakkan daripada kakitangan awam yang hadir.
Pegawai Tadbir Agama Daerah Hilir Perak Jamil Mohd Sapri, berkata tujuan program ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat agar dapat memelihara agama bagi mengelakkan peraturan-peraturan yang telah ditetapkan ini dilanggar selain melindungi umat Islam daripada terjerumus dalam ajaran yang tidak sepatutnya.
“Di samping itu, perlu diingatkan bahawa mereka yang benar-benar mahir dan mempunyai pengetahuan luas mengenai agama Islam sahaja yang diberikan tauliah untuk mengajar atau berceramah di masjid-masjid di sini,” ujarnya ketika merasmikan program di Dewan Pegawai Daerah Hilir Perak, semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Agama Islam Perak Saiful Azizi Abdul Manap menjelaskan lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga agama, menjaga jiwa, menjaga akal, menjaga keturunan dan menjaga harta.
“Masyarakat perlu memastikan agama Islam terus terpelihara daripada sebarang kekeliruan penyebaran ajaran sesat, fitnah dan perkara buruk yang boleh menimbulkan kesan negatif terhadap agama dan masyarakat,” ujarnya selaku penceramah.
-ZS-