Laporan/foto: Norfatihah Abd Jamin/Mohd Farhan Abd Rahim (Kinta)
IPOH, 18 Jul (Malaysiaaktif) – Hari Ladang Peringkat Daerah Kinta bertujuan meraikan usahawan-usahawan tani selain merapatkan lagi hubungan silaturahim dengan jabatan melalui pengisian program yang bermanfaat.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak Datuk Mohd Zolkafly Harun, program yang bertemakan ‘Keterjaminan Makanan Tanggungjawab Bersama’ ini sangat relevan dengan isu pertanian pada masa sekarang.
“Keterjaminan makanan merupakan agenda nasional yang seharusnya menjadi tanggungjawab setiap lapisan masyarakat.
“Kerajaan Negeri bersama Jabatan Pertanian Negeri Perak telah mengembeleng tenaga dalam memajukan industri makanan di negeri ini untuk memastikan kemampanan sistem agromakanan sentiasa berada pada tahap yang terbaik sepertimana yang digariskan dalam Dasar Agromakanan Negara 2.0,” katanya ketika berucap merasmikan program di Dataran Pejabat Pertanian Daerah Kinta, di sini semalam.
Beliau berharap para usahawan tani akan terus bergiat aktif dalam aktiviti pertanian manakala agensi-agensi kerajaan terus membantu mencapai aspirasi kerajaan negeri dengan memberikan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.
“Bagi pihak swasta dan orang awam, bersamalah kita mendokong hasrat kerajaan negeri dalam menjayakan Flagship Sekuriti Makanan, Perak Sejahtera 2030,” tambahnya.
Mohd Zolkafly turut menyatakan penghargaan kepada Jabatan Pertanian Negeri Perak khususnya Pejabat Pertanian Daerah Kinta selaku penganjur dan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta serta semua yang menyokong penuh perlaksanaan program ini.
-ZS-