
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 8 Jul (Malaysiaaktif) – Zulkepli Mo’minin, 55, memulakan misi bermotorsikal secara solo sejauh 17,000 kilometer dari Gombak ke Mekah hari ini.
Beliau akan melalui 11 negara selama lebih 80 hari termasuk laluan yang digelar ‘Silk Road’ iaitu negara Thailand, Laos, China sehingga Kazakhstan.
“Perjalanan yang paling mencabar dijangka di negara China selama 16 hari termasuk laluan yang sukar serta perubahan cuaca.
“Persiapan dilakukan hampir tiga tahun termasuk melengkapkan semua dokumen perjalanan, pemandu pelancong dan tempat menginap serta mematuhi semua peraturan negara-negara berkenaan,” katanya.
Beliau yang mesra disapa Abe Zul minat mengembara sejak kecil serta mendapat sokongan daripada ahli keluarga.
“Sebelum ini saya pernah melaksanakan misi solo di negara Thailand sebanyak tiga kali dan dua kali mengelilingi Malaysia.
“Ini adalah misi solo paling jauh dan berharap saya berjaya selesaikan,” katanya yang merupakan bapa kepada lima cahaya mata.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa majlis pelepasan oleh Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin di Masjid Gombak Utara, di sini hari ini.
Sementara itu, Megat Zulkarnain meluahkan rasa terharu dan bangga apabila Zulkepli menjadi anak Gombak pertama membawa nama Malaysia dan negeri Selangor.
“Kita patut berbangga dengan Abe Zul kerana misi ini memerlukan kekuatan luar biasa fizikal serta mental dan berharap beliau berjaya,” katanya.
-ZS-