
Laporan/foto: Musliha Yusof (Batu Pahat)
BATU PAHAT, 31 Jul (Malaysiaaktif) – Karnival Bangsa Johor Maju Sejahtera peringkat Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan Yong Peng kelmarin menyahut usaha kerajaan membentuk masyarakat yang sihat dan bebas daripada penyalahgunaan dadah.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor Ling Tian Soon mahu seluruh rakyat Malaysia sentiasa berwaspada dalam penyalahgunaan dadah.
“Bagi menurunkan kadar peratusan penagih dadah, kita perlu sokong program Johor Iltizam Hapus Ancaman Dadah (JIHAD),” katanya.
Ahli Sukarelawan Antidadah (SKUAD) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Zailizai Matiasin, 39, berpendapat bahawa semua masyarakat bertanggungjawab dalam usaha menghapuskan dadah.
“Karnival sebegini perlu kerap diadakan bagi menarik minat golongan muda menyertainya dan secara tidak langsung mampu membentuk semangat perpaduan,” ujarnya ketika mempromosikan keahlian SKUAD AADK kepada para pengunjung.
Program yang dianjurkan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) turut mengadakan pelbagai acara seperti sukan bola jaring, bola keranjang, cabaran penalti, pertandingan mewarna, tarian zapin dan sebagainya.
Turut hadir Pengarah AADK Johor Azli Ubin, Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Haji Mokhtar Pungut dan ketua-ketua jabatan dan agensi di daerah Batu Pahat.
-ZS-