
Laporan/foto: Syed Mohd Adib Syed Hassan (Segamat)
SEGAMAT, 17 Jul (Malaysiaaktif) – Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) masin menjadi pilihan utama ibu bapa untuk pendidikan awal persekolahan anak-anak mereka.
Menurut Pengonong Pengarah KEMAS Negeri Johor Roshaniza Abu Bakar, kejayaan KEMAS berpandukan pengiktirafan oleh pihak kerajaan iaitu diberi kepercayaan menerusi ‘Trusted Brand’ selama empat tahun (2017, 2020, 2022 dan 2023) dan kejayaan ini tidak dicapai sendiri tanpa kerjasama antara warga KEMAS dengan komuniti setempat.
“Terima kasih kepada komuniti setempat yang mempermudahkan urusan dengan KEMAS kerana tidak hanya libatkan proses persekolahan sahaja tetapi dalam penganjur pelbagai aktiviti bersama di setiap kawasan masing-masing.
“KEMAS harus berbangga kerana antara pendidikan awal persekolahan seluruh negara, KEMAS masih lagi menjadi pilihan utama ibu bapa menghantar anak mereka,” ujarnya ketika merasmikan Hari Potensi Kanak-kanak Tabika dan Taska Kemas Peringkat Daerah Segamat 2023 di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Gatom Labis, di sini kelmarin.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Datuk Zahari Sarip, KEMAS memainkan peranan penting tanpa melibatkan politik kerana ketika ini KEMAS lebih mementingkan hubungan mesra dengan masyarakat sekitar dalam penganjuran pelbagai program dan pembelajaran di tabika.
Pelbagai pertandingan yang berlangsung antaranya pidato, penceritaan, hufaz cilik, bilal cilik, ustazah junior, tarian dan lain-lain.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang Haslinda Salleh, Ketua Whip Majlis Daerah Labis Muhammad Azahar Ibrahim dan Pegawai KEMAS Segamat Faridah Saat.
-ZS-