
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 22 Jul (Malaysiaaktif) – Selain buah durian buah tarap juga menjadi buruan masyarakat di bahagian Borneo termasuk di Labuan apabila tiba musimnya.
Namun beberapa tahun kebelakangan ini harga buah tarap terutama di Labuan meningkat begitu ketara.
Seorang peniaga buah-buahan Siti Norazian Abdullah, 63, mengakui harga buah tarap semakin meningkat dari masa ke masa.
“Pembekal menaikkan harga menyebabkan kami terpaksa menaikkan harga buah tarap yang dijual terutama untuk tarap dari Labuan kerana kualiti lebih baik berbanding tarap yang datang dari Sabah yang sudah melalui perjalanan yang jauh.
“Jualan saya masih mendapat sambutan yang baik daripada pembeli kerana orang tempatan sangat suka dengan buah ini,” katanya yang menjual buah tarap bermula pada harga RM6 hingga RM25 ringgit sebiji mengikut saiz buah.
Sementara itu seorang lagi penjual buah tarap Jauyah Lajim, 56, pula memilih menjual tarap dengan harga yang lebih berpatutan.
“Harga buah tarap memang mahal sekarang hingga boleh mencecah sepuluh hingga 15 ringgit sebiji untuk saiz yang kecil dan saya sendiri merasakan ianya tidak masuk akal.
“Saya menjual tarap pada harga yang berpatutan sekitar RM7 sekilogram kerana buah ini memang digemari oleh orang tempatan dan mengelakkannya daripada rosak jika tidak laku, yang penting orang ramai boleh merasai keenakan buah ini,” katanya yang berniaga di Pasar Sentral Labuan.
-ZS-