Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 21 Jul (Malaysiaaktif) – Para peniaga di Pasar Sentral Bangunan UTC Labuan menyambut baik keputusan Perbadanan Labuan memberikan diskaun 50 peratus kadar sewa premis niaga yang berkuatkuasa 1 Januari hingga 31 Disember 2023.
Menurut salah seorang peniaga sayur-sayuran Suzita Abidin, 42, pengurangan kadar sewa itu mampu meringankan beban para peniaga di situ.
“Terima kasih kepada kerajaan kerana mengurangkan kadar sewa gerai kami selama setahun dan berharap ianya akan diteruskan pada masa hadapan kerana pengunjung Pasar Sentral hanya ramai pada hujung minggu berbanding hari biasa,” jelasnya.
Bagi seorang peniaga rempah–ratus Mohamed Iqbal Abd Latif, 61, pengurangan kadar sewa itu boleh memberi nafas kepada perniagaan yang dijalankan di bangunan itu.
“Keputusan itu boleh membantu para peniaga di sini menampung sedikit kos perniagaan tambahan pula gerai saya terletak di tingkat atas dan sukar untuk dikunjungi pelanggan selain harga bekalan barangan terutamanya dari luar Labuan juga terus meningkat,” katanya.
Sementara itu seorang peniaga ikan Choh Chiao See, 42, juga melahirkan rasa gembira dengan pengurangan kadar sewa yang diberikan Perbadanan Labuan.
“Memang kami rasa gembira dengan keputusan itu memandangkan perniagaan pun kurang baik, harga bekalan ikan pun tidak menentu dan hasil laut juga saya lihat semakin berkurangan terutamanya pada musim tengkujuh,” kongsinya.
Pada 14 Julai lalu, Mesyuarat Perbadanan Labuan yang dipengerusikan Pengerusi Perbadanan Labuan Tan Sri Anifah Aman meluluskan pemberian diskaun 50 peratus kadar sewa premis niaga milik Perbadanan Labuan di Aras 1 dan 2, Pasar Sentral Labuan, Pasar Khinzir, Stesen Bas dan Stesen Teksi.
-ZS-