
Laporan/foto: Andi Abdul Rohim/Muhammad Irsyad (Manjung)
MANJUNG, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 450 pelajar dan guru menjayakan Program Demokrasi Kita@Kelab Malaysiaku di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Shahriman, Beruas, di sini semalam.
Program anjuran Jabatan Penerangan dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Perak (SPR) itu dilaksanakan bagi memberi pendedahan dan kesedaran awal berhubung proses pilihan raya dalam sistem demokrasi berparlimen di Malaysia.
Menurut pelajar Abyaz Hashim, 16, peserta diberi pendedahan tentang prosedur sepanjang proses pengundian termasuk memainkan peranan sebagai kerani dan wakil ejen di pusat mengundi.
“Pelajar kini boleh mengundi secara automatik apabila mencapai umur 18 tahun mengikut alamat berdaftar. Justeru, pendedahan ini sedikit sebanyak membantu pelajar melihat gambaran sebenar proses mengundi nanti,” katanya.
Program Demokrasi Kita@Kelab Malaysiaku ini dilaksanakan bersekali dengan Pelancaran Bulan Kemerdekaan Peringkat Sekolah.
Pengetua Fadillah Mohd Yusuf, berkata sambutan bulan kemerdekaan ini bertujuan menyemai semangat patriotisme selain meluahkan rasa kecintaan pada tanah air melalui sistem demokrasi negara.
-ZS-