
Laporan/foto: Mohd Alihanafiah/Azlizan Mohamad Razaly (Hilir Perak)
TELUK INTAN, 17 Ogos (Malaysiaaktif) – Program Taklimat Isu-isu Semasa: Majlis Anti Pemerdagangan Orang (MAPO) di Kolej Vokasional (Pertanian) Teluk Intan merupakan bekalan terbaik buat pelajar sebelum melangkah ke alam pekerjaan.
Pegawai Siasatan dan Perundangan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak, ASP Emran Shih berkata, pendedahan awal mengenai salah laku di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dapat memastikan mereka tidak terjerat dalam sindiket penipuan pekerjaan kelak.
“Ramai anak muda yang baru habis belajar mudah tertarik dengan gaji lumayan yang diiklankan sindiket pekerjaan terbabit.
“Kita perlu sentiasa mengesahkan sesuatu iklan pekerjaan dengan agensi terlibat seperti Jabatan Tenaga Kerja atau dengan pihak berkuasa bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan,” ujarnya di hadapan 100 orang pelajar tahun akhir program diploma, di sini, semalam.
Program anjuran Pejabat Penerangan Hilir Perak dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak itu turut mendedahkan para pelajar mengenai dasar-dasar semasa kerajaan, sesuai dengan persiapan mereka sebelum memasuki pasaran kerja negara tidak lama lagi.
-ZS-