
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)
TUARAN, 6 Ogos (Malaysiaaktif) – Penglibatan pelajar dalam program Digital Race dan Sukaneka Seminit berjaya menyemarak semangat Cinta Negara dalam diri.
Menurut Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Penerbitan Dasar Negara, Jabatan Penerangan Sabah (JaPen) Sulia Banying Anak Gihang melalui program ini dapat meningkatkan semangat patriotik dan jati diri pelajar itu sendiri.
“Dalam program ini sambil bermain dan bersukan, kita selitkan soalan berkaitan kenegaraan bagi menguji kefahaman pelajar.
“Selain itu, program ini dilaksanakan untuk mendedahkan pelajar menggunakan aplikasi tertentu mencari maklumat dan membuat poster yang mudah,” jelasnya ketika ditemui pada program tersebut di Sekolah Menengah Kebangsaan Tamparuli, di sini semalam.
Bagi Guru Kanan mata pelajaran bidang Kemanusiaan, Wasili Idang, 54, aktiviti tersebut menarik dan memberi manfaat yang banyak kepada pelajar.
“Saya nampak pelajar teruja mengambil bahagian dalam program ini dan aktiviti seperti ini perlu disokong dan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, peserta Aeron Liyu Ker Jian, 19, berasa bertuah kerana terpilih dalam program ini.
“Saya sangat seronok melakukan aktiviti bersama rakan-rakan dan walaupun sedikit mencabar minda bagi menyelesaikan soalan tetapi ia sangat memberi inspirasi untuk lebih bersemangat pada masa akan datang,” kongsinya.
Program yang sama akan diadakan di Kota Kinabalu, Keningau dan Sipitang.
-ZS-