
Laporan/foto: Muhammad Aidil Md Lazim
MUAR, 12 Ogos (Malaysiaaktif) – Acara Kayuhan Merdeka 2023 yang berlangsung di perkarangan Pejabat Pusat Khidmat DUN N14 Bukit Naning, di sini hari ini telah dilaksanakan bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini.
Acara yang melibatkan seramai 120 orang penduduk setempat ini merupakan anjuran Agensi Anti Dadah Negara (AADK) Daerah Muar dengan kerjasama Pejabat Khidmat Rakyat DUN Bukit Naning.
ADUN Bukit Naning Datuk Haji Mohd Fuad Haji Tukirin, berkata selain penglibatan masyarakat setempat, ketua-ketua kampung, pengerusi dan AJK Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Kawasan Rukun Tetangga (KRT) turut terlibat sama.
“Selain itu, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APAM) serta Bomba juga turut terlibat dalam aktiviti mengibarkan Jalur Gemilang,” ujarnya.
Kayuhan sejauh 20 kilometer itu telah melibatkan laluan Kampung Parit Yakop, Parit Haji Anuar, Parit Kemin, Parit Jepon, Kampung Bulatan Setia dan Parit Baru.
-ZS-