Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahPutrajaya

Malaysia Memerlukan 27,000 Pakar Keselamatan Siber Menjelang Akhir 2025

By 15 Ogos 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hisham Salleh/GOCommunications

PUTRAJAYA, 15 Ogos (Malaysiaaktif) – Kerajaan Malaysia sedang menambah baik sokongan dan laluan untuk pakar keselamatan siber bagi mengatasi isu kekurangan pakar dalam industri tersebut.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, berkata Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 27,000 pakar keselamatan siber menjelang akhir tahun 2025 – yang kini hanya terdapat lebih kurang 15,000 orang pakar.

Tambahnya, isu kekurangan pakar keselamatan siber ini telah mewujudkan kebimbangan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana, yang sering terdedah kepada serangan siber, terutamanya mereka yang bekerja dari rumah atau secara dalam talian.

“Terdapat kekurangan profesional keselamatan siber yang meruncing, yang bukan sahaja dilengkapi dengan kemahiran teknikal yang tepat, tetapi juga mempunyai kreativiti dan pemahaman mendalam mengenai teknologi dan juga kelakuan manusia,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada program Cyber Digital Services, Defence & Security Asia (CyberDSA) 2023, di Kuala Lumpur Convention Centre, hari ini.

Beliau juga, berkata Kerajaan Malaysia komited untuk menyokong mana-mana program pembangunan pendidikan keselamatan siber dan pembangunan keupayaan, seperti Skim Pensijilan Pendidikan Keselamatan Siber Akreditasi Global (Global ACE), Cyber Range Consortium oleh CyberSecurity Malaysia, dan CyberGuru.

“Cyber Range Consortium akan ditubuhkan dengan kerjasama institusi pengajian tinggi awam, untuk menangani kekurangan pakar keselamatan siber negara. Program yang ditawarkan oleh CyberSecurity Malaysia, ini menawarkan kurikulum keselamatan siber yang komprehensif,” ujarnya.

Menurut Kajian Tenaga Kerja Keselamatan Siber ISC Squared (ISC²) 2022, kekurangan pakar keselamatan siber global kini berjumlah 3.4 juta orang.

Berlangsung bermula hari ini sehingga 17 Ogos 2023, CyberDSA 2023: Advancing Digitalisation and Security Through Collaboration, merupakan platform untuk membina rangkaian, bertukar idea dan menjalin kerjasama yang akan memacu negara ke arah masa depan digital yang lebih selamat.  

CyberDSA 2023 menonjolkan pelbagai teknologi dan inovasi keselamatan siber terkini, dengan penyertaan lebih 100 delegasi pakar keselamatan siber antarabangsa.

-HS-

Tinggalkan komen anda