
Laporan/foto: Norhasirah Deris (Marang)
MARANG, 25 Ogos (Malaysiaaktif) – Seramai 100 orang murid dan guru di Tadika Yayasan Islam Marang terlibat dalam sambutan Bulan Kebangsaan yang ke-66, di sini, semalam.
Peribahasa ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’ amat bersesuaian dengan program sambutan Hari Kemerdekaan untuk murid-murid tadika yang dianjurkan pihak sekolah agar mereka dapat menyelami maksud yang tersirat di sebalik kemerdekaan yang sebenar.
Guru Besar Tadika Yayasan Islam Marang, Zainaton Najar, 50, berkata acara itu menjadi program tahunan yang dijalankan apabila tiba bulan kemerdekaan dalam usaha mendidik anak kecil mengenai semangat cintakan negara.
“Pihak kami akan membuat program sempena bulan merdeka pada setiap tahun bagi menyemai semangat cintakan negara pada murid-murid dan juga kakitangan di tadika ini,” katanya.
Murid-murid akan didedahkan dengan sambutan yang seharusnya dilaksanakan menjelang tarikh yang telah menjadi sejarah kepada pembentukan negara.
“Selain memperagakan pakaian bertemakan Kemerdekaan, turut diadakan perarakan mengelilingi kawasan tadika hingga ke Dewan Majlis Daerah Marang sejauh 600 meter yang mana semua murid-murid terlibat dalam perarakan ini,” ujarnya.
-ZS-