
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Program Perkasa Keluarga anjuran Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak LDA Sungai Bedaun dengan Kerjasama Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berjaya meningkatkan persefahaman antara ibu bapa dan anak.
Menurut Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek program itu turut membantu ibu bapa membentuk anak-anak berdisiplin dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran hidup.
“Besarlah harapan saya agar program ini dapat mendorong anak-anak kita untuk lebih yakin dalam mendepani gaya hidup yang kian mencabar dan membesar dengan lebih kompetitif dan matang.
“Jika kematangan itu dapat digilap menerusi tumpuan dan bimbingan kita sebagai ibu-bapa mahupun sebagai guru-guru, keterampilan mereka sebagai ‘leader of the future’ akan berjaya dibentuk,” katanya semasa merasmikan program itu, di sini semalam.
Tambahnya, program itu juga memberi peluang kepada kalangan ibu bapa dan kanak-kanak di kawasan itu lebih saling mengenali dan mengeratkan hubungan sesama jiran tetangga di dalam komuniti perumahan yang berhampiran khususnya penduduk kawasan perumahan.
Antara pengisian program itu adalah pameran daripada agensi kerajaan, sesi ceramah kekeluargaan dari LPPKN, Perkhidmatan Pusat Keluarga Bergerak LPPKN, acara sukaneka dan penyampaian sumbangan kit makanan kepada golongan kurang berkemampuan.
-ZS-