
Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip (Sabah)
TAWAU, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Sambutan karnival ‘Wellness Month’ anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pendekatan yang dilihat mampu merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan rakyat yang sihat.
Ahli Parlimen Tawau Lo Su Fui, berkata dengan penganjuran tersebut dapat meningkatkan literasi kesihatan penduduk seterusnya mengukuhkan solidariti promosi kesihatan melalui kolaboratif antara agensi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti di daerah ini.
Menurutnya, melalui program kesihatan yang dianjurkan oleh pihak KKM ini dapat memberi kesedaran tentang kepentingan menjaga kesihatan.
“Semangat budaya hidup sihat dapat dikukuhkan dalam kalangan rakyat negara ini dengan momentum yang baik.
“Oleh itu, kita perlu mengamalkan cara hidup sihat dan sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan lebih awal,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa perasmian karnival ‘Wellness Month’ Peringkat Negeri Sabah 2023 di Padang Perbandaran Tawau, di sini pada Sabtu.
Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr. Shameer Khan Sulaiman, berkata terdapat empat teras dalam karnival ‘Wellness Month’ iaitu mempromosi pembudayaan kesihatan, perkhidmatan kesejahteraan kesihatan, kawalan kesihatan kendiri dan persekitaran.
“Kali ini kita ambil pendekatan yang lebih segar dengan membawa ikon muda iaitu penyanyi MK K-Clique untuk bersama-sama mempromosikan kesihatan kerana ikon ini mempunyai aura dan ramai pengikut di media sosial,” ujarnya.
-ZS-