
Laporan/foto: Mazlin Basir/Nurul Ain Johari
BATU PAHAT, 21 Sep (Malaysiaaktif) – Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam selaku Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) Cawangan Johor menegaskan bahawa perpaduan merupakan asas kepada pembinaan sesebuah masyarakat berbilang kaum dan sebagai tiang kemakmuran serta kedamaian.
“Anak-anak ibarat kain putih dan menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk membimbing ke arah kebaikan. Kanak-kanak perlu membesar dengan sihat dan sempurna dipenuhi dengan keperluan fizikal dan mental.
“Sokongan sepenuhnya daripada ibu bapa dan masyarakat sangat membantu kanak-kanak mencapai potensi diri serta membentuk sifat peribadi mereka apabila dewasa kelak,” titah baginda.
Menurut baginda lagi perpaduan seringkali dijadikan sebagai isu dalam masyarakat kerana setiap bangsa mempunyai prinsip kepercayaan agama dan budaya hidup yang berbeza.
“Semangat toleransi yang diamalkan pasti dapat mematahkan apa jua halangan yang boleh memecahbelahkan sesuatu masyarakat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian di Majlis Penutupan Rasmi Sambutan Hari Kebangsaan PPPM Cawangan Johor Tahun 2023 di Dewan Sultan Ibrahim, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini semalam.
Seramai 500 orang ahli Pandu Puteri Malaysia Cawangan Johor telah menghadiri program tersebut yang merupakan anjuran PPPM Cawangan Johor dengan kerjasama Pejabat Daerah Batu Pahat.
Dalam pada itu, Ketua Pesuruhjayanya, Sakdiah Ari, matlamat program yang diwujudkan bagi mengekalkan perpaduan antara ahli persatuan yang berketerampilan, berkebolehan dan bersemangat serta cinta akan tanah air telah berjaya direalisasikan dengan penglibatan daripada pelbagai kaum dari seluruh negeri Johor.
Antara pengisian program adalah pertandingan pakaian beragam, kad kreatif, melukis seni coret, pidato, nyanyian patriotik, masakan, pengucapan awam, arca merdeka, melukis poster dan deklamasi sajak.
Turut hadir Pegawai Daerah Batu Pahat Nasri Md Ali dan Naib Canselor UTHM Profesor Ir. Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahman.
-ZS-