Skip to main content
Berita SelatanBerita TempatanNegeri Sembilan

Amalkan Cara Hidup Sihat, Kurangkan Gaya Hidup Sedentari

By 25 September 2023September 29th, 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abd Halim Jumat

JELEBU, 25 Sep (Malaysiaaktif) – Rakyat di negara ini perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat dan mengurangkan gaya hidup sedentari iaitu suatu pergerakan minimum serta penggunaan tenaga yang amat kurang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kemajuan Desa, Perladangan dan Komoditi, Pertanian, Keterjaminan Makanan dan Kos Sara Hidup Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias, berkata pembudayaan dan amalan tidak aktif telah menjadi trend kebanyakan penduduk di Malaysia.

“Ramai penduduk di Malaysia kurang melakukan aktiviti fizikal dan keadaan ini boleh ditakrifkan sebagai gaya hidup yang tidak aktif. Gaya hidup seperti ini boleh mengakibatkan keadaan kronik seperti obesiti yang memudaratkan kesejahteraan individu,” katanya ketika dalam ucapan perasmian Majlis Mini Karnival Kembara Bulan Malaysia Sihat Sejahtera dan Pra Pelancaran Jelebu 2 Wheels Festival 2023 di Stadium Mini Kuala Klawang, di sini semalam.

Penganjuran Bulan Malaysia Sihat Sejahtera diadakan bertujuan mempromosikan cara hidup aktif serta sihat dan mengurangkan gaya hidup sedentari dan pencegahan risiko penyakit tidak berjangkit.

Jalaluddin yang juga Ahli Parlimen Jelebu, berkata ramai kanak-kanak di Malaysia yang berumur antara 12 hingga 17 tahun menghadapi penyakit obesiti akibat kurang melakukan aktiviti fizikal dan ada juga yang mengambil e-Rokok atau vap.

”Demi masa depan kanak-kanak khususnya di Jelebu, saya memohon jasa baik semua pihak sama ada pemimpin setempat dan ibu bapa supaya mengambil tanggungjawab memainkan peranan penting mencorakkan perkembangan kanak-kanak dalam persekitaran kondusif kerana golongan ini penentu masa depan negara,” katanya.

Bulan Malaysia Sihat Sejahtera daerah Jelebu disambut pada bulan Bola Sepak September setiap tahun dan pelbagai aktiviti bolasepak telah dijalankan seperti pertandingan bolasepak, pertandingan aerobikton, sepak penalti dan menimbang bola.

-ZS-

Tinggalkan komen anda