Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Hutan Simpan Hulu Selangor Diiktiraf Lokasi Kaya Nilai Biologi

By 24 September 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Al Hakim/Ameer Rithauddin (Hulu Selangor)

KUALA KUBU BHARU, 24 Sep (Malaysiaaktif) – Jabatan Hutan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM) bekerjasama menjayakan Mini Ekspedisi Saintifik Biodiversiti di Sungai Chiling, Hutan Simpan Hulu Selangor, di sini baru-baru ini.

Program ini bertujuan untuk mengenal pasti taburan spesis biodiversiti di kawasan Sungai Chiling yang turut merupakan Hutan Warisan Diraja Selangor.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin, sewaktu sesi sembah taklimat Pelan Induk Pembangunan Royal Selangor Heritage Forest pada Mac lalu, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah bertitah agar satu ekspedisi saintifik dilaksanakan terhadap hutan di Sungai Chiling bagi mengenal pasti biodiversiti unik yang terdapat di sekitar kawasan berkenaan.

“Di Selangor terdapat empat kawasan yang kaya dengan nilai biologi dan perlu dilindungi sebaiknya sebagai kawasan bernilai pemeliharaan tinggi (High Conservation Value Area), salah satunya Sungai Chiling, Hutan Simpan Hulu Selangor.

“Hasil dapatan ekspedisi ini akan dikumpul dan didokumentasikan untuk kajian saintifik seterusnya di samping membantu dalam proses pembelajaran serta penyelidikan pihak Institusi-institusi Pengajian Tinggi tempatan dan luar negara,” katanya sewaktu merasmikan penutupan Ekpedisi Saintifik Biodiversiti Sungai Chiling sempena Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Selangor 2023, di sini kelmarin.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Selangor telah mengekalkan lebih 30 peratus daripada tanah negeri bagi tujuan hutan simpan kekal sejak tahun 2010 dan keluasannya semakin bertambah saban tahun sebanyak 489 hektar menjadikan jumlah semasa 250,739.33 hektar bersamaan 31.7 peratus kawasan hutan simpan kekal negeri Selangor yang telah diwartakan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda