
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 15 Sep (Malaysiaaktif) – Seorang pesara Polis Bantuan mengambil inisiatif menghiasi halaman rumah dengan kibaran Jalur Gemilang untuk mendidik anak-anaknya agar menghargai kemerdekaan negara.
Ahad Omar, 63 yang ditemui di kediamannya di Kampung Lajau, di sini semalam, berkata beliau akan menghiasi halaman rumahnya dengan Jalur Gemilang setiap kali menjelang Bulan Kemerdekaan.
“Setiap kali Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia saya tidak ketinggalan untuk memasang Jalur Gemilang kerana saya ingin mendidik anak–anak saya untuk membangkitkan semangat kemerdekaan serta menghargai jasa perjuangan tokoh–tokoh kemerdekaan sehingga kita menikmati keamanan pada hari ini.
“Seluruh ahli keluarga saya juga menyokong dan bersama-sama menyumbang idea dalam pemasangan Jalur Gemilang agar kelihatan lebih menarik,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk turut mengibarkan Jalur Gemilang bagi memupuk semangat patriotik khasnya dalam kalangan generasi muda.
“Kibarkan Jalur Gemilang untuk kita bangkitkan semangat kemerdekaan. Kos untuk membeli Jalur Gemilang tidak seberapa jika kita bandingkan dengan keamanan dan kedamaian yang kita rasai.
“Pemasangan Jalur Gemilang bukan hanya soal ‘cantik’, tetapi yang penting kita perlu menunjukkan semangat menyambut kemerdekaan serta kebebasan yang kita kecapi selama ini,” katanya.
-ZS-