
Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Mohd Nizwan Mohd Daini (Sabah)
KOTA KINABALU, 14 Sep (Malaysiaaktif) – Kuetiau goreng basah adalah di antara menu makanan dari Semenanjung yang kini menjadi pilihan masyarakat di sekitar Kota Kinabalu.
Menurut pemilik restoran Char Kuey Teow Penang Mai Motokar Cafe, Muhamad Hafizi Mahtar, 35, kuetiau goreng basah yang dijualnya diterima baik masyarakat berbilang kaum di Sabah.
“Kita masak mengikut permintaan pelanggan. Contohnya ada yang suka kuetiau goreng basah kerang, udang, sotong dan ayam.
“Kuetiau goreng basah kita berkuah, mengikut gaya Pulau Pinang iaitu kuah banjir tsunami manakala di sini kuetiaunya kering,” kongsinya ketika ditemui di restorannya di Sulaman, di sini semalam.
Tambahnya, resepi istimewa pati kuah kuetiau goreng basah itu dibawakan khas dari Pulau Pinang.
“Sebulan sekali pati kuah yang diproses akan diterbangkan ke sini,” ujarnya.
Seorang pelanggan Rickly Kulumin, 25, memuji masakan kuetiau goreng basah di restoran itu.
“Saya jarang makan kuetiau sebab kurang minat tapi bila cuba di restoran ini, rasanya memang sedap,” katanya.
Antara menu lain yang terdapat di Char Kuey Teow Penang Mai Motokar Cafe adalah pasembur cucur udang, mi goreng ala Pulau Pinang dan nasi ayam.
-ZS-