
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
BATU CAVES, 23 Sep (Malaysiaaktif) – Projek naik taraf Jalan B23, Jalan Sungai Tua dan persimpangan Kampung Bendahara memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya di samping dapat mengatasi isu banjir kilat.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata projek bernilai RM25.4 juta itu berjaya disiapkan pada April 2023 walaupun melalui kekangan tertentu termasuk pandemik COVID-19.
“Projek ini bukan hanya selesaikan masalah jalan malah dapat selesaikan masalah saliran kerana ia turut melibatkan naik taraf anak Sungai Udang.
“Beberapa isu banjir kilat di Taman Sri Selayang dan Selayang Baru dapat dikurangkan,” katanya semasa merasmikan majlis penyerahan projek berkenaan di Taman Selayang Mutiara semalam.
Turut hadir Pengarah JKR Selangor Ir Lokman Nasir dan Pegawai Daerah Gombak Nor Azlina Abdul Aziz.
Menurutnya, kerajaan Selangor sentiasa membaiki dan naik taraf kemudahan serta selesaikan isu setempat.
“Selangor berdepan pembangunan pesat dan perlu penyusunan semula yang memerlukan kesabaran mencari penyelesaian terbaik.
“Dalam pembentangan libat urus Bajet 2024 saya turut menyentuh isu jalan, banjir dan perumahan,” katanya.
Katanya, Selangor tidak perlu selesa dengan status negeri maju sebaliknya perlu meletakkan sasaran untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan infrastruktur.
-ZS-