
Laporan/foto: Liza Imelia M. Sulanah (LMS)
SELAMA, 12 Sep (Malaysiaaktif) – Perarakan River Cruise Merdeka, di sini pada Ahad lalu bukan saja menjadi aktiviti riadah santai antara jabatan bahkan menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2023.
Menurut Pegawai Daerah Larut Matang dan Selama Mohd Nasrul Menhat, acara ini adalah cetusan idea daripada Nature Eco Adventure yang merupakan Rakan Strategik Pelancongan Majlis Daerah Selama dan bakal menjadi aktiviti tahunan yang istimewa di Selama.
“Selain ingin mencari sedikit kelainan dalam menggelorakan semangat cintakan negara, program ini juga adalah sebagai mempromosikan Sungai Siputeh sebagai hab ekopelancongan di Ulu Selama,” katanya ketika ditemui.
Penganjuran kali kedua program ini mendapat sambutan yang lebih meriah dengan penyertaan 105 orang terdiri daripada wakil jabatan di daerah Larut Matang dan Selama (LMS) dan peminat sukan rakit redah jeram tempatan.
Laluan sepanjang 6.6 kilometer merupakan simbolik sambutan kemerdekaan yang ke-66 tahun dan program ini juga menjadi platform kepada pihak penganjur iaitu Majlis Daerah Selama untuk mempromosi dan menguji lokasi penganjuran Selama Rafting Challlenge Peringkat Kebangsaan 2023 yang dijadual akan berlangsung pada 3 hingga 5 November 2023.
-ZS-