
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 2 Okt (Malaysiaaktif) – Acara Mukun SeBorneo sempena ‘Borneo Arts Festival 2023’ membuka peluang masyarakat untuk merasai seni budaya warisan etnik Kadayan dan Brunei yang begitu berharga.
Menurut Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan Simsudin Sidek, acara itu telah dijadikan sebagai platfom dan wadah yang penting untuk mempromosi, menghormati, dan merayakan kekayaan seni budaya yang dimiliki oleh komuniti itu.
“Program ini bukan sahaja mengukuhkan hubungan antara etnik-etnik ini, tetapi juga menghadirkan elemen kesatuan dalam kesenian dengan penuh semangat.
“Matlamat utama kami di Perbadanan Labuan dalam penganjuran acara tahunan ini adalah untuk menyemarakkan dan merakyatkan tradisi warisan seni etnik Kadayan dan etnik Brunei, yang merupakan asas penting dalam sejarah Labuan dan Borneo,” katanya semasa merasmikan dan membuka pentas Persembahan Mukun SeBorneo 2023, di sini semalam.
Simsudin turut mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Kadayan Labuan (WAKAL) yang memikul peranan sebagai pengelola acara itu selain Persatuan Pantaran Biskita Labuan dan Group Santai Karaoke Lawas, Sarawak yang terlibat secara langsung dalam persembahan Mukun SeBorneo 2023.
-ZS-