Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

Pertandingan Syarahan dan Bercerita Martabatkan Bahasa Melayu di SJK

By 5 Oktober 2023Tiada komen1 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Anuar Che Amat

KANGAR, 5 Okt (Malaysiaaktif) – Pertandingan Syarahan dan Bercerita Bahasa Melayu bagi Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil berupaya menggalakkan murid-murid bertutur, menguasai serta mempertingkatkan tahap penggunaan Bahasa Melayu.

Timbalan Menteri Pendidikan Lim Hui Ying, berkata pertandingan seumpama ini merupakan satu platform yang tepat dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu.

“Di samping memupuk minat dan kemahiran berbahasa dalam kalangan murid SJK di seluruh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis perasmian penutup dan penyampaian hadiah Pertandingan Syarahan Bercerita Bahasa Melayu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil Piala Perpaduan Perdana Menteri Peringkat Kebangsaan 2023 di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis, dekat sini malam tadi.

“Ini merupakan satu realiti yang membuktikan bahawa kebanyakan daripada anak-anak kita yang mengikuti pendidikan di SJK bukan sahaja fasih dalam bahasa ibunda malah juga dapat bertutur dan menggunakan Bahasa Melayu dengan baik dalam kehidupan seharian.

“Pertandingan ini juga dapat menanam dan menyuntik semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan murid,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, pertandingan ini bukan sahaja dapat meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu malahan dapat menyemai semangat cinta terhadap Bahasa Melayu dalam kalangan murid.

Pertandingan Piala Perpaduan telah diadakan buat pertama kali pada tahun 1983 dan pada tahun ini seramai 60 orang murid daripada 15 negeri dan wilayah terlibat di dalam pertandingan tersebut.

-ZS-

Tinggalkan komen anda