
Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
GOMBAK, 18 Okt (Malaysiaaktif) – Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah hasil maklumat orang awam dalam satu serbuan sekitar Batu Caves pada 15 Oktober lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan, berkata hasil serbuan pihaknya berjaya merampas 93.824 kilogram dadah jenis Methamphetamine bernilai RM3.1 juta.
“Dua suspek lelaki berusia 34 dan 42 tahun dengan salah seorangnya mempunyai rekod lampau bersabit dadah berjaya ditahan.
“Jumlah rampasan dadah ini boleh digunakan oleh 187,648 orang pengguna dadah dengan mengambil kira penggunaan harian 0.5 gram,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini hari ini.
Menurutnya, sindiket tersebut dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan bekalan dadah diperolehi dari luar negara untuk edaran tempatan dan negara jiran.
“Sindiket menjadikan premis kediaman sebagai tempat menyimpan dadah sebelum diedarkan ke negara jiran.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan suspek telah direman selama tujuh hari sehingga 22 Oktober ini,” jelasnya.
Hussein berkata, operasi ini berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bagi pasaran luar negara dan siasatan diteruskan untuk mengesan saki baki ahli mereka.
“Diharapkan masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah yang berlaku di sekeliling mereka,” katanya.