
Laporan/foto: Ashikin Mustafa/Nurulaini Mohd Kasran
KOTA TINGGI, 19 Okt (Malaysiaaktif) – Sebanyak enam buah sekolah yang merupakan ahli Kelab Malaysiaku di daerah Kota Tinggi telah bergabung dalam Program Demokrasi Kita@Kelab Malaysiaku Daerah Kota Tinggi yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab, di sini semalam.
Program anjuran Pejabat Penerangan Daerah Kota Tinggi dengan kolaborasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Negeri Johor itu bertujuan memberi pendedahan awal mengenai proses pilihan raya secara teori dan praktikal.
Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Raja Rashidah Ismail, berkata program ini penting bagi memberi pendidikan dan penerangan kepada pelajar-pelajar tentang amalan demokrasi di negara ini.
“Saya berharap program ini dapat meningkatkan kefahaman ahli-ahli Kelab Malaysiaku di daerah ini berkenaan amalan demokrasi berparlimen di Malaysia, memberi pendedahan kepada pelajar dan ahli Kelab Malaysiaku berkenaan Undi 18, menjelaskan kepentingan keluar mengundi dalam sistem demokrasi di Malaysia serta memberi peluang kepada mereka merasai suasana sebenar pilihan raya melalui praktikal yang akan dijalankan,” ujarnya ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Seramai 200 pelajar didedahkan dengan proses penamaan calon dengan empat orang calon telah di pilih untuk bertanding, disusuli dengan suasana berkempen di mana calon-calon menerangkan menifesto mereka, diikuti dengan proses pengundian dan penjumlahan undi.
Turut hadir Timbalan Pengarah SPR Negeri Johor Mohammad Zaidad Abdul Samad, wakil rasmi Pegawai Pendidikan Daerah Kota Tinggi Ishak Ismail dan Pegawai Penerangan Daerah Kota Tinggi Mohd. Nasharuddin Mohd. Shah.
-ZS-