
Laporan/foto: Mohd Shazreen Suradi
MUAR, 17 Okt (Malaysiaaktif) – Program Jualan Rahmah (PJR) Bergerak Kasih Sayang di Taman Molek Parit Pechah, di sini hari ini telah dilaksanakan dengan kerjasama daripada Pasaraya Frenmart membantu mengurangkan kos perbelanjaan barangan dapur rakyat di Sungai Balang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang Selamat Takim, berkata pelbagai barangan dijual dengan harga yang rendah dan barangan seperti beras, gula serta minyak masak paket juga boleh dibeli pada PJR Bergerak Kasih Sayang ini.
“Program seperti ini akan diteruskan secara berkala bagi memudahkan warga tempatan membeli tanpa perlu pergi jauh ke bandar untuk membeli barangan dapur,” ujarnya.
Siti Sarina, 40, yang pertama kali berkunjung ke PJR Bergerak berasa cukup teruja dan bersyukur kerana dapat membeli barangan dapur dengan harga yang lebih murah berbanding harga pasaran.
“Ini dapat menjimatkan kos dan saya berharap program jualan seperti ini diadakan setiap minggu di lokasi yang berlainan di Sungai Balang agar penduduk di kawasan tersebut berpeluang membeli barangan keperluan mereka,” katanya.
Antara beberapa barangan keperluan asas yang dijual murah ialah Beras Super Import 10 kilogram berharga RM29, ayam RM6.50 per kilogram dan telur gred C 30 biji berharga RM11.
-ZS-