Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Usaha Bersepadu Diperlukan bagi Melonjak TAHFIZ-TVET Negara – JPPKK

By 13 Oktober 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA

SHAH ALAM, 13 Okt (Malaysiaaktif) – Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) mengalu-alukan kerjasama strategik dengan pihak industri, institut pengajian tinggi, sekolah serta institusi pendidikan tahfiz dalam usaha membina acuan terbaik pendidikan Tahfiz-TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).

Ketua Pengarah JPPKK Dr. Mohd Zahari Ismail, berkata usaha bersepadu diperlukan bagi melonjak Techno Huffaz agar selari dengan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara dan aspirasi Malaysia Madani sekali gus melahirkan lebih ramai teknokrat huffaz di negara ini.

“Akses laluan khas pelajar-pelajar lepasan tahfiz ke politeknik dan kolej komuniti sedang direncana bagi membuka peluang serta laluan yang lebih luas untuk mengikuti pengajian TVET.

“Ini memberi ruang kepada lepasan tahfiz menjawat jawatan profesional apabila tamat pengajian di samping mahir dalam ilmu agama dan al-Quran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Focus Group Dialoge: TVET Tahfiz Talk 2023 yang diadakan di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA), di sini semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pengarah Kanan (Kompetensi) JPPKK Ts. Zainab Othman.

Menurutnya, JPPKK bersama PSA sedang membangunkan Garis Panduan Pelaksanaan dan Pengurusan Tahfiz Politeknik yang akan menjadi asas kepada pemantapan pelaksanaan program ini pada masa akan datang.

Pada 18 September lalu, Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengumumkan untuk membuka satu laluan khas yang lebih besar dan pelbagai ke politeknik serta program TVET di bawah kementeriannya kepada para pelajar aliran agama, para huffaz dan lepasan maahad tahfiz.

-ZS-

Tinggalkan komen anda