
Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)
LABUAN, 20 Nov (Malaysiaaktif) – Tidak kurang 7,000 warga Labuan menghadiri Himpunan Solidariti Palestin bagi mendoakan kesejahteraan dan keselamatan rakyat Palestin di Dataran Labuan, semalam.
Menurut kenyataan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Cawangan Labuan, himpunan itu diadakan sebagai tanda kebersamaan semua pihak dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin bagi mempertahankan hak mereka daripada dijajah.
“Objektif utama program itu adalah untuk menerapkan kesedaran kepada seluruh warga Wilayah Persekutuan Labuan tentang nilai kemanusiaan sejagat dan nikmat kemerdekaan yang perlu hargai serta kepentingan membantu sedaya yang mampu kepada mereka yang tidak bernasib baik,” menurut kenyataan tersebut.
Perhimpunan dimulakan dengan solat sunat hajat, doa munajat dan alunan zikir secara berjemaah yang diketuai oleh Sohibul Fadhilah Timbalan Mufti, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Labuan Dr. Nik Azlan bin Nik Man.
Kemudian diikuti acara perarakan solidariti di sekitar bandar Labuan, lantunan Asmaul Husna, bacaan selawat beramai-ramai, ceramah solidariti Palestin oleh penceramah jemputan, deklamasi sajak, tayangan video dan terjemahan ucapan daripada wakil Pertubuhan Aman Palestin di Gaza.
Dalam program itu, sebanyak RM29,424.15 kutipan derma berjaya dikumpul dan diserahkan kepada Aman Palestin Berhad untuk disampaikan kepada warga Palestin yang terkesan dengan peperangan tersebut.
Turut hadir Setiausaha Agung Persatuan Ulama Malaysia Prof. Dr. Mohd Roslan Mohd Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Berhad Awang Suffian Awang Piut.
-ZS-