
Laporan/foto: Azrul Azham
JERANTUT, 29 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 763 yang terdiri daripada petani, pengusaha akuakultur, nelayan darat dan juga penternak menerima Bantuan Prihatin Pahang (BPP) Kluster Pertanian yang melibatkan bantuan sebanyak RM152,600.
Menurut Penyelaras Dewan Negeri Pulau Tawar Haris Salleh Hamzah, Kluster Petani merupakan salah satu daripada 29 inisiatif BPP yang diilhamkan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam konteks ‘berkongsi rezeki’ setelah kerajaan negeri Pahang berjaya mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.08 bilion.
“Bagi BPP Kluster Petani hari ini, ianya melibatkan nilai sebanyak RM1 juta dengan 5,000 penerima di seluruh negeri Pahang.
“Setiap penerima yang layak akan disumbangkan sebanyak RM200 seorang dan bagi daerah Jerantut penerima BPP Kluster petani melibatkan seramai 763 penerima dan jumlah peruntukan sebanyak RM 152,600,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena majlis penyampaian BPP dengan kerjasama Pejabat Pertanian Daerah di Dewan Utama Majlis Daerah, di sini kelmarin.
Bagi Nazri Che Husin, 62, bantuan tersebut sangat memberi makna kepada mereka.
“Terima kasih diucapkan kepada Menteri Besar Pahang,” katanya.
Turut hadir Pegawai Pertanian Daerah Jerantut Rafeah Rabiatun Othman, Pegawai Perikanan Daerah Jerantut Shahidan Roslan dan Pegawai Veterinar Daerah Jerantut Sharifah Faizah Syed Saidin.
-ZS-