
Laporan/foto: Hafizah Rahim (Marang)/Amiruddin Adli Isham (Terengganu)
KEMAMAN, 18 Nov (Malaysiaaktif) – Kemeriahan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen P.040 Kemaman bermula seawal pukul 7.00 pagi tadi apabila penyokong parti-parti politik dilihat berkumpul sekitar Majlis Perbandaran Kemaman, untuk berarak bersama calon, di sini pagi tadi.
“Setiap calon bertanding diberi tempoh selama sejam bermula pukul 9.00 pagi untuk mengemukakan borang pencalonan masing-masing,” kata Pegawai pengurus PRK Ahmad Farhan Abdul Wahab.
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, calon Perikatan Nasional (PN) tiba pada pukul 8.45 pagi diiringi pencadang, Che Alias Hamid yang juga Mantan Ahli Parlimen Kemaman dan penyokong, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai Hanafiah Mat.
Manakala calon Barisan Nasional, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor diiringi pencadang, Pengerusi Badan Perhubungan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan penyokong, mantan Ahli Parlimen Kemaman Shabery Cheek.
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK bagi kerusi Parlimen Kemaman pada 2 Disember manakala tarikh undi awal pada 28 November.
Seramai 141,790 pengundi layak menunaikan tanggungjawab dalam PRK itu termasuk 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.
-ZS-