Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Galeri Masjid Ihsaniah Iskandariah Warisan Kampung Kuala Dal

By 17 November 2023Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Nurizzati Hanis/Ahmad Faisal (Kuala Kangsar)

PADANG RENGAS,17 Nov (Malaysiaaktif) – Galeri Masjid Ihsaniah Iskandariah yang terletak di Kampung Kuala Dal, di sini menjadi tarikan pengunjung kerana mempunyai keunikan seni bina yang tersendiri.

Masjid yang terletak kira-kira 15 kilometer dari Bandar Diraja Kuala Kangsar ini dibina pada tahun 1936 di atas sebidang tanah yang diwakafkan oleh Dato’ Juragan Abdul Shukor Mohamed Ali iaitu Orang Kaya-kaya Bijaya DiRaja Perak.

Menurut mantan Pengerusi Masjid Al-Wahidah Abdul Muiz Lamad, 80, Sultan Iskandar Shah yang merupakan Sultan Perak yang ke-30 telah bernazar untuk membina sebuah masjid sekiranya anakanda baginda sembuh daripada gering (sakit).

“Baginda telah membayar nazar dengan menyumbangkan sebanyak 8,000 pound sterling dan telah merasmikan masjid ini pada 11 Februari 1938, hari Jumaat.

“Masjid ini tidak digunakan lagi  semenjak tahun 1976 dan menjadi semakin usang dan sebahagian struktur bangunannya turut rosak. Semenjak itu, penduduk tempatan menunaikan solat di masjid baru yang dibina bersebelahan masjid ini sehinggalah Jabatan Warisan Negara (JWN) mengambil inisiatif untuk memulih dan memelihara warisan ini pada tahun 2008,” katanya ketika ditemui, semalam.

Tambahnya, JWN melakukan kerja-kerja pemuliharaan untuk membaiki semula kerosakan struktur bangunan masjid dan setelah siap, masjid ini dijadikan sebagai galeri dan dirasmikan buat kali kedua oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada tahun 2011.

Penduduk tempatan memberi jolokan ‘rumah burung’ kepada galeri masjid dua tingkat ini kerana struktur bangunannya yang tinggi. Selain itu, galeri ini juga cukup istimewa kerana keseluruhan dindingnya dibina  daripada buluh yang dianyam dan dipanggil sebagai dinding kelarai atau tepas.

-ZS-

Tinggalkan komen anda