Laporan/foto: Andi Abdul Rohim (Manjung)
MANJUNG, 24 Nov (Malaysiaaktif) – Pulut lepa mungkin kedengaran asing bagi sesetengah orang namun juadah ini sebenarnya hampir sama dengan pulut panggang yang mana beza kedua-duanya adalah pada intinya.
Bariyah Johor, 67, yang mengusahakan perniagaan pulut lepa di restoran yang dibangunkan bersama suami sejak 30 tahun lalu tidak menyangka perusahaan itu bertahan sehingga hari ini.
“Saya membangunkan Restoran Hassan bersama arwah suami, Abu Hassan Shaari pada tahun 1981 dan kini meneruskannya bersama anak-anak. Syukur, perniagaan masih baik dan kembali lancar selepas pandemik COVID-19 serta menerima pengunjung yang ramai terutama pada cuti umum dan musim cuti persekolahan.
Menurut Bariyah, bahan-bahan untuk membuat pulut lepa adalah pulut, ikan kayu dan kelapa.
“Cara membuatnya sama seperti pulut panggang iaitu pulut yang diletakkan di atas daun pisang akan diisi dengan inti ikan yang sudah dimasak dengan kelapa sebelum dibalut dan dibakar. Sebiji pulut lepa yang dijual berharga RM1.50,” katanya ketika ditemui, semalam.
Bariyah turut berkongsi sesuatu perniagaan itu perlu dilakukan dengan tekun tanpa berputus asa selain diniatkan untuk bersedekah.
Sementara itu, pengunjung restoran Fadli Razak, 38, berpendapat pulut lepa yang dihasilkan sangat sedap dah berbaloi.
“Rasa isi ikan yang segar dan manis dari laut Pangkor mampu menarik pengunjung selain laksa mi Pangkor yang terkenal di kawasan ini,” katanya yang datang dari Ipoh bersama rakan sekerjanya.
Selain pulut lepa yang dihidang enak pada waktu petang, Restoran Hassan yang terletak berhampiran jalan Masjid Teluk Raja Bayang, Pangkor turut terkenal dengan roti bakar Pak Hassan, laksa dan sebagainya.
-ZS-