Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Kompleks Pasar Payang Baharu Tarikan Utama Pelancong

By 2 November 2023Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Nooraini Che Aziz/Maznah Ngah (Terengganu)

KUALA TERENGGANU, 2 Nov (Malaysiaaktif) – Kompleks Pasar Payang baharu bakal menjadi tarikan utama pelancong ke negeri Terengganu.

Kompleks bernilai RM75,963.749 itu akan diserahkan kepada Majlis Bandaraya Kuala Terengganu pada 30 November ini dan dijangka mula dibuka kepada pengunjung sebelum akhir tahun ini.

Menurut Ketua Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) Datuk Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, kerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Terengganu dan pelbagai agensi di negeri ini merupakan kunci utama kejayaan pembinaan kompleks itu.

“Adalah menjadi harapan agar Projek Pembangunan Semula Kompleks Pasar Payang, yang merupakan projek ikonik negeri Terengganu dapat memulakan operasinya dalam masa terdekat dan menjadi tarikan utama pelancong ke Negeri Terengganu,” katanya.

Wan Ahmad berkata demikian ketika mengadakan tinjauan ke projek pembangunan semula Kompleks Pasar Payang, di sini semalam.

“Ianya berpotensi merancakan ekonomi setempat sekali gus memberikan manfaat kepada penduduk Kuala Terengganu.

“ICU Jabatan Perdana Menteri akan terus memainkan peranan dalam memantau pelaksanaan projek serta mencari kaedah terbaik dalam memudah cara tindakan yang lebih berkesan,” katanya.

Katanya lagi, kompleks itu membabitkan perluasan saiz kedai serta ruang legar dan dilengkapi kemudahan asas seperti tandas Orang Kurang Upaya (OKU), bilik persalinan bayi, eskalator dan lif bagi keselesaan pengunjung.

Antara tarikan utama adalah pembinaan semula menara jam yang pernah menjadi mercu tanda Pasar Payang pada awal kewujudanya.

Turut hadir Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu Haji Rosli Latif dan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu Haji Abdul Kahar Abdul Latif.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda