
Laporan/foto: Juhannis Idris (Batang Padang)
TAPAH, 3 Nov (Malaysiaaktif) – Seramai 150 banduan mengungkapkan rasa syukur dan terima kasih selepas menghadiri Majlis Penyerahan Makanan sumbangan Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di Penjara Tapah, di sini pagi tadi.
Majlis yang disempurnakan oleh Orang Besar Jajahan Batang Padang Datuk Mat Rasid Ayob ini bersempena ulang tahun keputeraan Sultan Perak yang mana baginda berkenan membiayai hidangan makanan tengah hari melibatkan 7,100 banduan dan tahanan yang sedang menjalani hukuman di negeri ini.
Banduan yang hanya ingin dikenali sebagai Azmi, 39, berkata kurniaan ini menzahirkan sifat baginda yang prihatin dan berjiwa rakyat.
“Sempena ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-67, saya berasa amat dihargai dan tidak dipinggirkan oleh Tuanku walaupun kami berada di dalam penjara.
“Semoga Tuanku dikurniakan dengan kesihatan yang baik dan sentiasa di dalam rahmat-Nya,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi banduan iaitu Goli, 35, yang berasal dari Iran berasa amat bertuah kerana dapat menikmati hidangan istimewa ini.
“Ketika saya berumur 24 tahun, saya dan ibu datang ke Malaysia bersama seorang lagi rakan. Namun, kami ditahan semasa pemeriksaan dan didapati ada dadah di dalam beg yang kami bawa. Rakan tersebut telah menghilangkan diri. Saya dan ibu dijatuhkan hukuman gantung,” kongsinya.
Walaubagaimanapun, selepas rayuan dilakukan hukumannya ditukarkan kepada 20 tahun penjara manakala ibunya 18 tahun penjara.
“Menjunjung kasih Tuanku dan tolong ampunkan kami,” tambahnya sambil menitiskan air mata.
Seramai 3,325 banduan dan tahanan di dalam Penjara Tapah menikmati kurniaan Sultan Perak ini.
Turut hadir Pegawai Daerah Batang Padang Ahmad Redhauddin Ahmad Shokori.
-ZS-